Buku Pelawat

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

Alhamdulillah, syukur ke hadarat Ilahi kerana masih diberi peluang untuk kita berpuasa pada tahun ini. Pada hari ini 30 Ogos 2009 bersamaan 09 Ramadhan 1430H, dalam sedar atau tidak sedar umat Islam di Malaysia telah Sembilan hari berpuasa.

Namun dalam keghairahan berpuasa kadang-kadang kita lupa dan alpha terhadap beberapa perkara yang mungkin boleh membatalkan puasa kita. Oleh hal yang demikian, sebagai peringatan buat kaum muslimin sekalian di bawah ini dinyatakan beberapa perkara yang membatalkan puasa sebagai peringatan dan renungan untuk kita semua agar puasa kita diterima oleh Allah s.w.t.

1. Jimak .

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA katanya : Telah datang seorang lelaki berjumpa Nabi SAW lalu berkata : Binasalah saya wahai Rasulullah ! Nabi bertanya : Apa yang membinasakan kamu ? Katanya saya telah menyetubuhi isteri saya pada siang hari bulan Ramadhan. Nabi bertanya : Adakah kamu sanggup memerdekakan seorang hamba ? Jawabnya : Tidak. Tanya Nabi lagi : Adakah kamu sanggup puasa dua bulan berturut-turut ? Jawabnya : Tidak . Tanya Nabi lagi : Adakah kamu sanggup memberi makan enam puluh orang miskin ? Jawabnya juga tidak. Kata Abu Hurairah : Kemudian Nabi duduk, lalu dibawa datang sekarung buah tamar, dan Nabi bersabda : Ambillah ini dan sedekahkan. Maka lelaki itu bertanya : Adakah kepada orang yang lebih miskin daripada saya wahai Rasulullah ? Demi Allah ! Tidak ada di Madinah ini orang yang lebih berhajat / lebih miskin daripada saya ! Maka Nabi tergelak sehingga nampak gigi siungnya. Kemudian baginda bersabda : Pergilah, dan berilah makan kepada ahlimu.

(Dari hadis riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Maksud dari riwayat di atas : Bahawa seseorang yang bersetubuh dengan isterinya pada siang hari Ramadhan dengan sengaja dan mengetahui haramnya wajiblah atasnya kafarah, iaitu memerdekakan seorang hamba, dan kalau tak kuasa / tak ada, wajib atasnya puasa dua bulan berturut-turut. Kalau tidak kuasa, maka wajib atasnya memberi makan enam puluh orang miskin, secupak bagi tiap-tiap seorang. Adapun perempuan yang disetubuhinya itu tidak terkena kafarah atasnya, mengikut faham mazhab Syafie dan Auza'ie , tetapi pada fahaman mazhab-mazhab yang lain : Wajib atas perempuan itu kafarah, kerana ia menyertai sama perbuatan jimak.

Mengikut mazhab Syafie, hanya perbuatan jimak sahaja yang mewajibkan kafarah, tetapi imam Malik dan Abu Hanifah berkata : Orang yang berbuka puasa dengan sengaja makan / minum, wajib (dikenakan) kafarah seperti batal puasa dengan persetubuhan.

2. Makan Minum

Ertinya : Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, sabdanya : Sesiapa berbuka sehari dari Ramadhan dengan tiada keuzuran yang dibenarkan Allah baginya, maka tidak ada ganti baginya (untuk mendapatkan pahala yang begitu besar yang telah luput itu) dengan puasa setahun, sekalipun ia sanggup berpuasa sepanjang tahun itu.

Mengikut faham Jumhur (termasuk As-Syafie) orang yang sengaja berbuka ini, wajib atasnya Qada' dan tidak wajib kafarah. Dalam mazhab Malik dan Hanafi : Wajib kafarah. Dan sepakat imam-imam bahawa berbuka dengan sengaja tanpa keuzuran adalah haram.

Perhatian :

i . Makan / Minum kerana terlupa, tidak membatalkan puasa.

Sabda Nabi SAW :

مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ, فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ, فَلْيُتِمّ صَوْمَهُ. فَإِنّمَا أَطْعَمَهُ اللّهُ وَسَقَاهُ

Ertinya : Sesiapa yang terlupa, sedang ia berpuasa, lalu ia makan atau minum, maka hendaklah ia teruskan puasanya. Sebenarnya Allah yang memberinya makan dan minum.

ii. Jika ia makan dan minum kerana disangkakan telah maghrib, tetapi ternyata belum lagi maghrib, nescaya batal puasanya dan wajib Qadha' .

Dari Asma' Bt. Abi Bakar RA katanya : Kami telah berbuka di masa Nabi SAW pada hari redup (kerana menyangka telah maghrib), kemudian kelihatan matahari masih ada, lalu ditanya orang yang meriwayatkan hadis ini (Hisyam) : Adakah mereka telah disuruh Qadha' ? Maka katanya : Ya, Mesti Qadha'.

(Riwayat Al-Bukhari)

iii. Berdasarkan riwayat ini, imam empat sependapat mengatakan : Sesiapa yang menyangka telah maghrib lalu berbuka, kemudian ternyata belum maghrib, wajib ia berhenti dari makannya kerana menghormati waktu puasa dan wajib atasnya Qadha' kerana puasanya telah batal, dan tidak ada kafarah ke atasnya. Begitu juga orang yang makan kerana menyangka belum subuh lagi, kemudian ternyata siang telah menjelang, maka wajiblah ia menahan diri dari yang membatalkan puasanya sepanjang hari dan wajib atasnya Qadha' kerana puasanya telah rosak.

Termasuk dalam makan minum yang membatalkan puasa ialah :

Sampainya sesuatu ke dalam rongga badan (perut) dengan sengaja, melalui pilihan sendiri dan tahu ... dan sampainya ke dalam rongga / perut melalui saluran masuk yang biasa di tubuh yang dikira oleh syarak, seperti mulut, hidung dan telinga, termasuklah :

iv. Menghisap rokok / tembakau, candu, dadah dan sebagainya. Dan menghisap (nusyuk) melalui hidung.

v. Suntikan melalui dubur, manakala suntikan di kulit atau urat darah, tidak membatalkan puasa kerana ianya tidak masuk ke dalam rongga perut dan tidak melalui saluran biasa. Tetapi lebih baik, jika ada kemudahan , suntikan dilakukan selepas waktu berbuka.

iv. Suntikan makanan atau menambah vitamin adalah membatalkan puasa.

vii. Menelan sisa makanan yang terlekat di celah-celah gigi. Sedang ia boleh membezanya dan boleh membuangnya, adalah membatalkan. Begitu juga tertelan air kerana berkumur-kumur atau istinsyak (menghisap air ke hidung) yang melebihi kerana termasuk dalam sengaja.

viii. Menelan liur, tertelan lalat dengan tidak sengaja, tertelan debu jalan, asap kayu dan lain-lain jenis asap / gas yang tidak boleh dielak adalah tidak membatalkan.

3. Muntah dengan sengaja

Membatalkan, kerana sabda Nabi SAW :

مَنِ اسْتَقَاءَ, فَعَلَيْهِ الْقَضَاءُ

Yakni : Sesiapa muntah dengan sengaja hendaklah ia qadha' puasanya. Adapun muntah dengan tidak sengaja, maka tidaklah rosak puasanya. Mengeluarkan balgham (kahak) dari dalam dan membuangnya keluar juga tidak merosakkan puasa.

4. Keluar mani dengan sengaja

Dengan apa cara yang pada adatnya boleh membawa kepadanya, atau dengan sengaja memandang, atau berfikir-fikir, cium, sentuh dan sebagainya adalah membatalkan puasa, tetapi jika keluar kerana bermimpi tidak membatalkan.

0 comments:

Catat Ulasan