Buku Pelawat

Gerhana Bulan Separa Dijangka Jumaat Ini

PUTRAJAYA, Dis 30 – Fenomena gerhana bulan separa dijangka berlaku Jumaat ini 1 Jan 2010 bersamaan dengan 15 Muharam 1431H bermula pukul 1.17 pagi hingga 5.28 pagi waktu tempatan.

Menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini, gerhana akan bermula dengan fasa penumbra pada pukul 1.17 pagi dan mencapai tahap gerhana maksimum pada pukul 3.24 pagi.

“Gerhana ini dijangka berakhir pada pukul 5.28 pagi. Gerhana yang jelas hanya dapat dilihat apabila bulan memasuki bayang umbra bumi iaitu dari pukul 2.53 pagi sehingga gerhana maksimum,” kata kenyataan itu.

Sehubungan fenomena itu, masyarakat Islam digalakkan menunaikan solat sunat khusuf atau solat sunat gerhana bulan yang disertai dengan khutbah khas gerhana bulan, bersempena dengan kejadian gerhana bulan itu.

Ekoran gerhana yang berlaku semasa cuti sambutan tahun baru 2010, orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan fenomena alam semula jadi itu dan turut serta menunaikan solat sunat khusuf yang akan diadakan di Masjid Negara.

“Program yang merupakan anjuran bersama Masjid Negara, Jakim dan Agensi Angkasa Negara itu bertujuan meningkatkan tahap keimanan masyarakat Islam,” kata Jakim. – Bernama

0 comments:

Catat Ulasan