Buku Pelawat

Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan

Tuntutan Dalam Bulan Ramadhan

0 comments

EMPAT TUNTUTAN

"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa." - Surah Al Baqarah: 183
Ramadhan adalah bulan yang amat bermakna bagi mereka yang tahu menilai dan menghargai kelebihannya. Ramadhan merupakan masa untuk menguji tahap kesabaran, waktu menunjukkan simpati kepada yang memerlukan ihsan, juga bulan mulia untuk menambah ibadat dan amalan.

Rasulullah SAW telah menggariskan empat amalan utama yang digalakkan dalam bulan ini iaitu;
1. Melazimkan bacaan kalimah taiyibah;
2. Beristighfar;
3. Memohon memasuki jannah dan
4. Berlindung dengan-Nya daripada neraka jahannam.

Rasulullah SAW telah menggesa para sahabat untuk menjadikan keempat-empat perkara ini sebagai suatu amalan. Abu Saeed Khudri r.a meriwayatkan bahawa: "Suatu ketika Nabi Musa AS memohon kepada Allah SWT agar diberikan satu kalimat khas yang mana Baginda dapat mengingati Allah SWT dan dapat memohon sesuatu melaluinya. Lantas Allah SWT menyuruhnya menyebut kalimah tersebut. Nabi Musa AS berkata: "Wahai Allah, kalimah ini dibaca oleh semua hamba-Mu, aku mengkehendaki yang khusus." Lalu Allah SWT menjawab, "Wahai Musa, jika ketujuh-tujuh langit dan bumi dan semua yang terkandung di dalamnya kecuali Aku diletakkan ke atas sebelah dacing dan kalimah ini pada sebelah yang lain, kalimah ini lebih berat lagi daripada segala sesuatu."

Di dalam hadis yang lain pula dinyatakan bahawa jika seseorang menyebut kalimah taiyibah ini, iaitu "laa ilaha illallah" dengan seikhlas hati, maka pintu syurga akan segera terbuka untuknya. Kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan istighfar kerana Allah SWT telah berjanji akan memberi kita jalan keluar daripada segala kesukaran dan membebaskan kita daripada segala kesedihan. Malahan sesiapa yang memperbanyakkan istighfar akan memperolehi rezeki daripada sumber yang tidak pernah disangkakan. Kalimah istighfar yang mudah disebut adalah seperti "astaghfirullah". Tidak ada batasan dalam mengulang sebutan istighfar ini. Semakin kerap ia diulang, semakin banyaklah pahala yang dikumpul.

Di samping itu, kita turut dituntut agar sentiasa berdoa supaya ditempatkan di dalam syurga sambil meminta kepada Yang Maha Esa menjauhkan kita daripada ancaman api neraka. Doa yang boleh diamalkan untuk memohon agar ditempatkan di dalam syurga ialah seperti berikut:"Allahhumma as'alukal jannata wa a'uzubika minannar."

Dengan memperbanyakkan amalan di atas, maka akan bertambah banyaklah amal ibadah yang kita lakukan untuk memenuhi bulan Ramadhan ini. Ramadhanlah masanya yang paling sesuai untuk memperbanyakkan ibadah lantaran tiadanya gangguan godaan daripada iblis dan syaitan.

Justeru, sebagai umat yang sentiasa mendambakan kasih sayang-Nya, perhatian dan ganjaran-ganjaran yang telah dijanjikan-Nya, maka layaklah kita sebagai hamba-Nya merebut peluang ini yang datang hanya sekali dalam setahun. Jika kita sanggup berhabis wang ringgit semata-mata untuk tujuan kecantikan dan hiburan, maka Allah SWT memberi peluang untuk kita berkunjung ke syurga-Nya secara percuma. Tidak perlukan bayaran, hanya sedikit masa dan keikhlasan. Masih enggankah lagi kita menerima tawaran ini? Fikirkan.

Selamat beribadat dan wassalam.

[...]

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

0 comments

Alhamdulillah, syukur ke hadarat Ilahi kerana masih diberi peluang untuk kita berpuasa pada tahun ini. Pada hari ini 30 Ogos 2009 bersamaan 09 Ramadhan 1430H, dalam sedar atau tidak sedar umat Islam di Malaysia telah Sembilan hari berpuasa.

Namun dalam keghairahan berpuasa kadang-kadang kita lupa dan alpha terhadap beberapa perkara yang mungkin boleh membatalkan puasa kita. Oleh hal yang demikian, sebagai peringatan buat kaum muslimin sekalian di bawah ini dinyatakan beberapa perkara yang membatalkan puasa sebagai peringatan dan renungan untuk kita semua agar puasa kita diterima oleh Allah s.w.t.

1. Jimak .

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA katanya : Telah datang seorang lelaki berjumpa Nabi SAW lalu berkata : Binasalah saya wahai Rasulullah ! Nabi bertanya : Apa yang membinasakan kamu ? Katanya saya telah menyetubuhi isteri saya pada siang hari bulan Ramadhan. Nabi bertanya : Adakah kamu sanggup memerdekakan seorang hamba ? Jawabnya : Tidak. Tanya Nabi lagi : Adakah kamu sanggup puasa dua bulan berturut-turut ? Jawabnya : Tidak . Tanya Nabi lagi : Adakah kamu sanggup memberi makan enam puluh orang miskin ? Jawabnya juga tidak. Kata Abu Hurairah : Kemudian Nabi duduk, lalu dibawa datang sekarung buah tamar, dan Nabi bersabda : Ambillah ini dan sedekahkan. Maka lelaki itu bertanya : Adakah kepada orang yang lebih miskin daripada saya wahai Rasulullah ? Demi Allah ! Tidak ada di Madinah ini orang yang lebih berhajat / lebih miskin daripada saya ! Maka Nabi tergelak sehingga nampak gigi siungnya. Kemudian baginda bersabda : Pergilah, dan berilah makan kepada ahlimu.

(Dari hadis riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Maksud dari riwayat di atas : Bahawa seseorang yang bersetubuh dengan isterinya pada siang hari Ramadhan dengan sengaja dan mengetahui haramnya wajiblah atasnya kafarah, iaitu memerdekakan seorang hamba, dan kalau tak kuasa / tak ada, wajib atasnya puasa dua bulan berturut-turut. Kalau tidak kuasa, maka wajib atasnya memberi makan enam puluh orang miskin, secupak bagi tiap-tiap seorang. Adapun perempuan yang disetubuhinya itu tidak terkena kafarah atasnya, mengikut faham mazhab Syafie dan Auza'ie , tetapi pada fahaman mazhab-mazhab yang lain : Wajib atas perempuan itu kafarah, kerana ia menyertai sama perbuatan jimak.

Mengikut mazhab Syafie, hanya perbuatan jimak sahaja yang mewajibkan kafarah, tetapi imam Malik dan Abu Hanifah berkata : Orang yang berbuka puasa dengan sengaja makan / minum, wajib (dikenakan) kafarah seperti batal puasa dengan persetubuhan.

2. Makan Minum

Ertinya : Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, sabdanya : Sesiapa berbuka sehari dari Ramadhan dengan tiada keuzuran yang dibenarkan Allah baginya, maka tidak ada ganti baginya (untuk mendapatkan pahala yang begitu besar yang telah luput itu) dengan puasa setahun, sekalipun ia sanggup berpuasa sepanjang tahun itu.

Mengikut faham Jumhur (termasuk As-Syafie) orang yang sengaja berbuka ini, wajib atasnya Qada' dan tidak wajib kafarah. Dalam mazhab Malik dan Hanafi : Wajib kafarah. Dan sepakat imam-imam bahawa berbuka dengan sengaja tanpa keuzuran adalah haram.

Perhatian :

i . Makan / Minum kerana terlupa, tidak membatalkan puasa.

Sabda Nabi SAW :

مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ, فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ, فَلْيُتِمّ صَوْمَهُ. فَإِنّمَا أَطْعَمَهُ اللّهُ وَسَقَاهُ

Ertinya : Sesiapa yang terlupa, sedang ia berpuasa, lalu ia makan atau minum, maka hendaklah ia teruskan puasanya. Sebenarnya Allah yang memberinya makan dan minum.

ii. Jika ia makan dan minum kerana disangkakan telah maghrib, tetapi ternyata belum lagi maghrib, nescaya batal puasanya dan wajib Qadha' .

Dari Asma' Bt. Abi Bakar RA katanya : Kami telah berbuka di masa Nabi SAW pada hari redup (kerana menyangka telah maghrib), kemudian kelihatan matahari masih ada, lalu ditanya orang yang meriwayatkan hadis ini (Hisyam) : Adakah mereka telah disuruh Qadha' ? Maka katanya : Ya, Mesti Qadha'.

(Riwayat Al-Bukhari)

iii. Berdasarkan riwayat ini, imam empat sependapat mengatakan : Sesiapa yang menyangka telah maghrib lalu berbuka, kemudian ternyata belum maghrib, wajib ia berhenti dari makannya kerana menghormati waktu puasa dan wajib atasnya Qadha' kerana puasanya telah batal, dan tidak ada kafarah ke atasnya. Begitu juga orang yang makan kerana menyangka belum subuh lagi, kemudian ternyata siang telah menjelang, maka wajiblah ia menahan diri dari yang membatalkan puasanya sepanjang hari dan wajib atasnya Qadha' kerana puasanya telah rosak.

Termasuk dalam makan minum yang membatalkan puasa ialah :

Sampainya sesuatu ke dalam rongga badan (perut) dengan sengaja, melalui pilihan sendiri dan tahu ... dan sampainya ke dalam rongga / perut melalui saluran masuk yang biasa di tubuh yang dikira oleh syarak, seperti mulut, hidung dan telinga, termasuklah :

iv. Menghisap rokok / tembakau, candu, dadah dan sebagainya. Dan menghisap (nusyuk) melalui hidung.

v. Suntikan melalui dubur, manakala suntikan di kulit atau urat darah, tidak membatalkan puasa kerana ianya tidak masuk ke dalam rongga perut dan tidak melalui saluran biasa. Tetapi lebih baik, jika ada kemudahan , suntikan dilakukan selepas waktu berbuka.

iv. Suntikan makanan atau menambah vitamin adalah membatalkan puasa.

vii. Menelan sisa makanan yang terlekat di celah-celah gigi. Sedang ia boleh membezanya dan boleh membuangnya, adalah membatalkan. Begitu juga tertelan air kerana berkumur-kumur atau istinsyak (menghisap air ke hidung) yang melebihi kerana termasuk dalam sengaja.

viii. Menelan liur, tertelan lalat dengan tidak sengaja, tertelan debu jalan, asap kayu dan lain-lain jenis asap / gas yang tidak boleh dielak adalah tidak membatalkan.

3. Muntah dengan sengaja

Membatalkan, kerana sabda Nabi SAW :

مَنِ اسْتَقَاءَ, فَعَلَيْهِ الْقَضَاءُ

Yakni : Sesiapa muntah dengan sengaja hendaklah ia qadha' puasanya. Adapun muntah dengan tidak sengaja, maka tidaklah rosak puasanya. Mengeluarkan balgham (kahak) dari dalam dan membuangnya keluar juga tidak merosakkan puasa.

4. Keluar mani dengan sengaja

Dengan apa cara yang pada adatnya boleh membawa kepadanya, atau dengan sengaja memandang, atau berfikir-fikir, cium, sentuh dan sebagainya adalah membatalkan puasa, tetapi jika keluar kerana bermimpi tidak membatalkan.

[...]

Ibadat Puasa Ramadhan Menjana Keperibadian Mukmin

0 comments

Ramadan adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh oleh setiap orang yang beriman. Bulan yang disebut oleh Rasulullah sebagai ‘bulan umatku’, satu-satunya umat yang dikurniakan dengan bulan mulia dalam sejarah kewujudan manusia. Kaum nabi terdahulu tidak pernah dikurnia Allah dengan mana-mana bulan mulia. Bukan saja Ramadan itu, mengandungi seribu rahmat, malah menunggu-nunggu datangnya pun adalah rahmat Ilahi. Ini seperti sabda Rasulullah, maksudnya: “Sesiapa yang bergembira dengan datangnya Ramadan, Allah akan mengharamkan jasadnya daripada api neraka.” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Sebagai mana pintu syurga dibuka pada Ramadan, pintu keberkatan, kebaikan, pintu kasih-sayang, kemaafan, hidayah dan petunjuk juga terbuka. Pintu neraka tertutup rapat, sebagaimana jalan ke neraka juga tersekat. Jalan ke syurga terbentang luas, hingga Rasulullah sendiri menjelaskan dalam sabdanya: “Tidur orang yang berpuasa pada bulan puasa adalah ibadat, diamnya adalah tasbih, manakala ibadatnya dilipatgandakan pahalanya oleh Allah.”

Ramadan adalah bulan kerehatan dan kelapangan daripada segala hiruk pikuk dan kesibukan dunia. Bulan kita berhenti sebentar daripada keserabutan kejar-mengejar di pentas dunia, untuk melihat ke dalam diri sendiri terhadap cebis iman yang masih tinggal serta dosa pahala yang pernah diperbuat selama setahun. Justeru, kita dianjurkan agar meningkatkan keimanan. Keempat-empat komponen kewujudan manusia hendaklah diperkukuhkan dengan neraca iman. Tubuh badan bertambah taat, roh makin bercahaya, akal penuh bijaksana dan nafsu bak air tasik tenang tidak berkocak.

Berhenti sebentar berfikir dengan rasional status perhubungan kita dengan Allah selama ini, ketaatan kepada Rasulullah serta apa yang dibuat untuk agama, bangsa, negara, ibu bapa, keluarga, jiran tetangga dan diri sendiri? Rasulullah bersabda: “Sesiapa saja yang berpuasa pada Ramadan dengan penuh iman dan menghisab diri sendiri akan diampunkan dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Begitu juga pada malam Ramadan, peluang terbuka luas untuk menghidupkan malamnya dengan mendirikan solat Tarawih, Saidina Abu Hurairah ada menjelaskan bahawa Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang mendirikan sembahyang malam pada Ramadan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Imam Muslim).


Ramadan walaupun bulan kerehatan, ia bukanlah bulan untuk bermalas-malasan, menjadikan orang Islam tidak produktif atau menjadikan alasan berpuasa untuk tidak membereskan sebarang pekerjaan. Sepatutnya pada Ramadan, umat Islam bertambah cergas, kuat kerja, aktif dan lebih kuat semangat. Ini kerana setiap tanggungjawab yang dibereskan pasti mendapat ganjaran berlipat ganda.
Selain itu kefarduan puasa Ramadan adalah untuk menjana suatu natijah peribadi terpuji dan seterusnya mencapai kemuncak darjat ketaqwaan yang sebenar kepada Allah Taala. Dalam satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: ``Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan semata-mata kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan pahala daripada-Nya, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.''
Ramadan adalah bulan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat bagi setiap umat Islam yang ingin mencapai hasrat tersebut.Ini kerana dengan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat sahajalah, maka akan lebih mudah proses taqarrub seseorang untuk berserah diri kepada Allah Taala dalam banyak hal yang lain. Dengan itu juga akan lebih mudah pula seseorang mukmin itu membezakan sesuatu yang hak dan batil.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud: ``Umatku diberikan oleh Allah setiap Ramadan perkara yang tidak diberikan kepada umat sebelumnya, iaitu: bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Malaikat memohon ampun untuk orang yang berpuasa hingga waktu berbuka. Syaitan dibelenggu sehingga mereka tidak bebas seperti biasa.''
Bertitik tolak daripada itu, setiap umat Islam digalakkan menyimpan niat untuk menjalani ibadat puasa setiap hari pada bulan Ramadan sebagai manifestasi untuk melaksanakannya mengikut apa yang dikehendaki oleh syarak.
Puasa adalah suatu ibadat tazkiyah al-nafs, iaitu proses penyucian jiwa dan nurani daripada segala penyakit rohani yang boleh mengkerdilkan kesempurnaan ibadat seseorang. Melalui ibadat puasalah diharapkan akan lahir sifat-sifat terpuji seperti amanah dan jujur dengan diri sendiri, bertanggungjawab, bertaqwa dan sabar.
Apa jua kesederhanaan dan sedikit kekuatan yang dituntut sepanjang menjalani ibadat puasa ini, mencerminkan ibadat puasa adalah bersifat sosial yang dikatakan boleh menjana deria keprihatinan dan keinsafan terhadap nasib umat Islam yang kurang bernasib baik.
Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ``Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa daripada segala yang haram. Jauhilah daripada suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama.'' (Riwayat Bukhari).
Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah s.a.w. ini dapat kita laksanakan dengan syumul, perkara utama yang harus didahulukan adalah menyiapkan diri untuk memulakan penghidupan yang lebih bermutu dan bernilai sepanjang berada dalam bulan penuh kemuliaan dan keberkatan ini. di antaranya ialah:
- Menjaga ibadat puasa daripada terbatal dan kurang pahalanya kerana kelalaian dalam menjaga anggota badan.
- Banyakkan membaca al-Quran dan merenungi pengajaran di sebalik pengertian ayat yang dibaca.
- Mengurangkan tidur pada siang hari bulan Ramadan.
- Beriktikaf dalam masjid terutamanya pada sepuluh malam terakhir Ramadan
- Memperbanyakkan bersedekah terutama kepada fakir miskin kerana bersedekah akan menyucikan jiwa manusia daripada sifat takbur dan kembali menyemai sensitiviti sesama umat Islam.
- Jangan terlalu boros dengan melakukan pembaziran dalam penyediaan makanan.
Melihat kepada betapa besarnya fadilat yang bakal diperoleh semua umat Muslimin pada sepanjang bulan yang barakah ini, Rasulullah s.a.w. telah memberi penekanan dengan menjelaskan kemuliaan Ramadan melalui satu khutbah baginda iaitu:
``Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan di mana Allah telah menjadikan puasa adalah kefarduan dan qiyam pada malamnya adalah satu tambahan. Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dan beramal soleh pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang yang menunaikan 70 amalan fardu pada bulan yang lain. Bulan Ramadan adalah bulan untuk memberi pertolongan dan Allah akan menambahkan rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan daripada api neraka.''
Secara jelasnya menikmati kehadiran Ramadan dan fadilat yang terselindung di sebalik tabir kemunculannya menjadi tumpuan setiap umat Islam yang sentiasa mendambakan keberkatan dan pahala yang berlipat ganda daripada Allah Taala.
Usah jadikan Ramadan sebagai bulan untuk berlumba-lumba menyajikan makanan yang pelbagai sehingga melakukan pembaziran atau menjadikan alasan berpuasa di dalam bulan Ramadan untuk menjadi umat Islam yang rendah produktiviti dan tiada natijah penghidupan kerana keletihan berpuasa.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ``Apabila datangnya malam pertama Ramadan, diikatlah segala jin dan syaitan yang jahat serta ditutup pula pintu neraka, dan tiada dibuka walaupun satu pintu neraka. Akan dibuka pintu syurga. Pada setiap malam akan ada malaikat yang menyeru ``Wahai manusia yang inginkan kebaikan, bersegeralah kamu. Wahai manusia yang inginkan kejahatan, berhentilah kamu...''

Disediakan Oleh:Ustaz Haji Mohd. Nawi Bin Haji Ismail

[...]

Adab Berpuasa Dan Solat Terawih

0 comments

Adab berpuasa dan solat terawih

Oleh NAZMI AIDARUS

Sumber: http://www.utusan.com.my/

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

Kenyang

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..

Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.

Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)

- NAZMI AIDARUS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Terengganu.

[...]

Demi Mu Sebuah Persahabatan...

0 comments

Selagi hati boleh memaafkan, maka maafkanlah…Allah sayangkan orang yg memberikan kemaafan walau dipinta, yg berterima kasih walau dia yg memberi…

Memulakan usaha murni ke arah pengukuhan semula sebuah silaturrahim adalah tindakan yg terpuji..Apatah lagi jika ia merupakan hubungan suci yang diikat atas nama Allah… Kalau telah memulakan untuk kali pertama, mengapa tidak kali kedua? Andai telah masuk kali ketiga, tiada salahnya memulakan kali yg keempat…

Kesabaran adalah kemenangan…
Ada ketikanya kita perlu memulakan. Biarlah kita beralah apatah lagi demi sebuah perhubungan yang suci. Beralah bukan bererti kita salah atau kalah. Sebaliknya kita adalah org yang menang kerana berjaya menjernihkan keadaan.

[...]

Makanan Menurut Pandangan Islam

0 comments

Marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah SWT dengan mengerjakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya dengan melimpahkan nikmat yang tidak terkira banyaknya. Maka kita sebagai hambaNya yang beriman, wajiblah bersyukur di atas anugerah tersebut.
Mencari rezeki untuk hidup adalah satu tuntutan atau kewajipan ke atas setiap manusia, bagi memenuhi keperluan seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan-keperluan lain, untuk diri sendiri dan orang yang dibawah tanggungjawabnya. Namun apa yang penting hendaklah rezeki yang di perolehi itu dari sumber yang halal, baik serta diberkati oleh Allah SWT.Oleh itu, dalam kita mencari rezeki samada sebagai seorang pekerja, peniaga, pengusaha dan sebagainya hendaklah mengamalkan sifat jujur dan amanah, tekun dan sabar dalam pekerjaan yang dilakukan.
Apatahlagi orang yang bekerja itu bukan hanya akan mendapat hasil dari usahanya, malah akan di beri ganjaran oleh Allah SWT, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Barangsiapa yang merasa penat kerana bekerja untuk mencari rezeki yang halal, nescaya terampun segala dosanya".(Riwayat Al-Imam Al-Sayuti)
Dalam menentukan makanan dan minuman kita itu halal, kita hendaklah memastikan tiga perkara :Pertama - makanan dan minuman kita hendaklah dari benda-benda yang dibenarkan oleh syariat Islam. Kedua - Disediakan mengikut cara yang dituntut oleh syariat Islam.Ketiga - Memastikan rezeki tersebut daripada sumber yang halal.Kita hendaklah sentiasa berwaspada dan memastikan apa yang kita makan dan minum dan apa yang kita berikan kepada isteri dan anak-anak kita adalah dari sumber yang halal.
Marilah kita renungkan sebuah hadis yang bermaksud :" Seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut-masai rambutnya dan kotor pakaiannya, menadah tangan ke langit sambil berdoa : " Ya Tuhanku!, Ya Tuhanku!, tatapi makan minumnya dari yang haram. Pakaiannya dari yang haram. Bagaimanakah hendak diterima doanya?."(Riwayat Muslim)Walaupun dia seorang musafir itu merupakan doa yang mustajab, yang tidak akan ditolak oleh Allah SW, namun akibat pemakanan dan perbelanjaan dari sumber yang haram seperti judi, perniagaan atau pelaburan berunsurkan riba' dan gharar, mencuri, menipu orang lain dan juga kerja-kerja yang bersangkutan dengan perkara yang dilarang agama, maka menyebabkan Allah SWT tidak menerima doanya.
Ingatlah sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad :" Sesungguhnya tidak akan masuk syurga daging yang tumbuh dari sumber yang haram, sebaliknya nerakalah tempatnya yang lebih utama."Sahabatku yang dimuliakan Allah SWT,Allah SWT sebenarnya telah menetapkan garis panduan bagi umat Islam dalam memilih pemakanan. Setiap apa yang ditetapkan oleh Allah SWT pastinya mempunyai hikmah dan kebaikan untuk umat manusia.Firman Allah SWT di dalam Surah An-Nahl ayat 114 :" Oleh itu, makanlah daripada apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda-benda yang halal dan bersyukurlah akan nikmat Allah, Jika benar kamu menyambahNya semata-mata." Allah SWT memerintahkan kita bukan sahaja memakan makanan yang halal, tetapi makanan yang baik juga. Apa yang dimaksudkan dengan baik disini adalah makanan berkhasiat dan berzat untuk kesihatan.
Oleh itu Islam menggalakkan kita agar menjaga kesihatan dan Islam juga menganjurkan kita makan bukan sahaja yang halal, tetapi yang baik dan berkhasiat.Jesteru, seseorang muslim yang prihatin dan mengambil berat terhadap pemakanan perlu memastikan setiap makanan dan minuman kita adalah dari sumber yang halal dan baik serta disediakan mengikut cara yang ditetapkan syarak.Berbagai cara yang boleh kita lakukan untuk memastikan bahawa makanan kita adalah halal. Antaranya adalah dengan memastikan bahawa makanan kita adalah halal.
Antaranya adalah dengan memastikan bahawa makanan tersebut bertanda halal yang sah dan diiktiraf oleh pihak berkuasa agama di Malaysia.Di samping itu juga, kita perlu membiasakan diri membaca kandungan barangan yang kita beli dan tarikh luput barang tersebut. Kita perlu tahu apa yang kita masukkan ke dalam perut kita, kerana makanan akan mempengaruhi kehidupan, perwatakan dan pemikiran kita. Bagi makanan yang sudahpun mempunyai logo halal dan yang sah dan diiktiraf, membaca kandungan makanan yang dibeli akan lebih menjadikan kita penggunan yang mempunyai kesedaran. Bukan setiap pengguna yang hanya tahu membeli sahaja. Jika kita ragu-ragu terhadap sesuatu makanan, samada ia halal atau tidak maka adalah lebih baik kita tidak memakannya. Inilah panduan Islam sepertimana sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari :" Tinggalkan apa yang mencurigakan kamu kepada apa yang tidak mencurigakan kamu. "Sabdanya lagi :" Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan yang haram itupun nyata (terang). Dan diantara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran yang tidak diketahui akannya oleh ramai manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya) dari segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran, jatuhlah ia ke dalam perkara yang haram."Ingatlah, bahawa orang yang mendapat rezeki dari sumber yang tidak halal akan membawa akibat buruk kepada dirinya seperti rezeki yang diperoleh tiada keberkatan didalamnya, hilang kepercayaaan orang ramai kepadanya, tidak akan diterima doa-doanya, akan mendapat tempat yang hina disisi Allah SWT dan dimasukkan ke dalam api neraka.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :Dari Khaula Al-Ansariah ra, ia berkata aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : " Bahawasanya orang yang mencampur-adukkan harta Allah dengan jalan yang tidak halal, maka mereka akan mendapat seksaan api neraka pada hari kiamat kelak."(Riwayat Al-Bukhari)(Al-Baqarah:168) " Wahai sekalian manusia, makanlah daripada apa yang ada di muka bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang dan nyata bagi kamu."

[...]

Akibat Meringankan Solat

0 comments

Sesetengah ulama berkata bahawa terdapat dalam hadith, sesiapa yang menjaga solahnya maka Allah swt akan mengurniakan lima keistimewaan.
Pertama, akan diangkat kesempitan hidup di dunia daripadanya.
Kedua, akan dihindarkan daripada azab kubur.
Ketiga, dia akan menerima buku catatan amalnya melalui tangan kanan.
Keempat, akan melintasi titian sirat sepantas kilat, dan,
Kelima, akan memasukki syurga tanpa hisab.
Cukup hebat sekali kepada sesiapa yang dapat menjaga solahnya secara sempurna disisi Allah swt. Ganjarannya cukup lumayan, bukan setakat ganjaran di akhirat sahaja tetapi di dunia dan di alam kubur juga.TAPI sesiapa yang meringan-ringankan solah, Allah swt akan menyeksannya dengan lima belas seksaan. Astagfirullah. Awas kita!Yang mana akan terbahagi kepada beberapa bahagian. Lima seksaan di dunia ini, tiga seksaan ketika meniggal dunia, tiga seksaan di dalam kubur dan tiga seksaan semasa dibangkitkan dari kubur.
Seksaan semasa di dunia ialah:
Pertama, dicabut keberkatan umurnya.
Kedua, dihapuskan tanda-tanda orang soleh daripada wajahnya.
Ketiga, Allah swt tidak mengganjari setiap amalan yang dilakukan olehnya.
Keempat, doanya tidak akan diangkat ke langit (doanya tidak akan diterima).
Kelima, dia tidak akan mendapat bahagian dalam doa orang soleh.
Seksaan yang menimpanya ketika mati ialah:
Pertama, dia akan mati dalam keadaan hina.
Kedua, dia akan mati dalam keadaan lapar, dan,
Ketiga, dia akan mati dalam keadaan dahaga, sehingga jika dia diberi minum air sebanyak lautan di dunia pun tidak akan dapat menghilangkan hausnya.
Seksaan yang akan menimpanya ketika di dalam kubur ialah:
Pertama, kubur akan menghimpitnya sehingga tulang-tulang rusuknya berceragah antara satu sama lain.
Kedua, api akan dinyalakan di dalam kuburnya, dan dia akan dibalik-balikkan di atas bara api siang dan malam, dan,
Ketiga, seekor ular yang besar bernama Ashsyuja'ul-Aqra' akan dilepaskanke atasnya. Kedua-dua mata ular itu dibuat daripada api dan kuku ular itu dibuat daripada besi. Panjang setiap kuku ular itu sejauh satu hari perjalanan. Ular tersebut akan berkata dengan suara yang gemuruh seumpama petir, "Aku Ashsyuja'ul-Aqra', Aku diperintah oleh Tuhanku supaya memukul kamu kerana kamu meninggalkan solah subuh sehingga naik matahari, kerana meninggalkan solah zohor hingga 'asr, kerana meninggalkan solah 'asr hingga maghrib, kerana meninggalkan solah maghrib hingga isyak, kerana meniggalkan solah isyak hingga subuh". Setiap kali ular itu memukulnya, dia akan terbenam ke dalam bumi sejauh 70 hasta. Dia akan diazab berterusan di dalam kubur sehingga hari kiamat.
Manakala seksaan yang menimpanya ketika dibangkitkan dari kubur pada hari kiamat di padang mahsyar ialah:
Pertama, penghisabannya amat berat.
Kedua, dia dimurkai Allah swt, dan,
Ketiga, dia akan dimasukkan ke dalam neraka
Dalam satu riwayat yang lain disebut bahawa mereka yang melalaikan solah, pada hari kiamat akan datang dalam keadaan pada muka mereka tertulis tiga baris tulisan.
Pertama, wahai orang yang mensia-siakan hak Allah swt.
Kedua, wahai orang yang pasti mendapat kemurkaan Allah swt, dan,
Ketiga, sebagaimana kamu di dunia mensia-siakan hak Allah swt, kini putuslah harapan kamu daripada rahmat Allah swt.
Gerun bila mendengar hadith ini dan oleh itu marilah sama-sama kita menghayati hadith ini dan beramal dengannya insyaallah. Dan berdoa agar Allah memelihara kita, memberikan kita kekuatan untuk menerima kita diantara mereka-mereka yang dikurniakan lima keistimewaan seperti yang disebutkan diatas.Kita sampai-sampaikan hadith ini kepada semua keluarga dan rakan-rakan kita supaya mereka juga dapat beramal melaluinya, insyaAllah.
Waallahua'alam.

[...]

Ujian Itu Rahsia Allah s.w.t

0 comments

Bismillahirahmaniraheem..

Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah,ujian atau masalah hidup didunia yang sementara ini.Tipu jika seseorang itu berkata yang dia tidak pernah ditimpa musibah. Setiap orang ada masalahnya tersendiri,Allah uji dengan berbagai-bagai ujian tetapi sebabnya adalah sama. Allah menguji seseorang itu kerana Allah swt mempunyai rahsianya tersendiri,sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh mana keimanan kita. Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata hati kita,yang mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh dengan onak duri,ujian juga dapat mematangkan kita.

Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah swt kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali sehingga kita terlupa pada siapa yang perlu kita mengadu segala masalah kita, pada siapa kita harus minta kembali kekuatan kita. Astagfirullah, lemahnya dan rendahnya iman kita. Tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita. Jika kita anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah ingat bukan kita sahaja yang mengalaminya,mungkin ada sahabat-sahabat kita @ saudara seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk atau lebih besar dari kita.

Bukankah,Allah telah berkata dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujianNya jadi Allah berikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya.

Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya tidak pernah hendak bersabar dalam menghadapi ujianNya. Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Alihkan pandangan matamu ke arah LAUT, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan ketawa tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupannya. Jika rasa kecewa, alihkan pandanganmu ke arah SUNGAI, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalangnya. Dan jika rasa sedih,alihkan pandanganmu ke arah LANGIT, sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamamu.

Jadi seharusnya apa yang perlu kita lakukan? berdoalah kepada Allah, Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri kita. Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada Allah swt.Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar.

Dekatkanlah diri kita dengan pencipta kita yang menguasai seluruh alam, yang memegang hati-hati kita. Disamping berdoa perlulah kita berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mungkin ada yang rasa diri mereka tidak kuat hendak hadapinya tetapi cubalah bangun! Usah tewas dengan hasutan syaitan, cari kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri kita masing-masing. Yakin dengan diri, kuatkan azam dan cita-cita. Usah tonjolkan kelemahan kita pada syaitan kerana syaitan tidak pernah berhenti menghasut agar kita lemah-selemahnya.

Jika rasa tidak kuat, carilah sahabat-sahabat yang sentiasa memberi kata-kata semangat kepada kita dan bukan sahabat yang menjatuhkan kita. Itulah pentingnya sahabat kerana kita tidak mungkin bisa hidup berseorangan.

Kita perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya. Untung bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya. Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik!

SAHABAT..
selemah2 manusia ialah org yg takboleh mencari sahabat
dan org yg lebih lemah dari itu ialah org yg
mensia2kan sahabat yg talah dicari...Saidina Ali

sumber: iluvislam.com

[...]

Menghadapi Peperiksaan

0 comments

Peperiksaan merupakan satu kemestian bagi setiap yang bergelar pelajar; merupakan medan untuk menentukan kelayakan dan kemampuan seorang pelajar dalam memahami apa yang telah dipelajari. Perlumbaan untuk mendapatkan keputusan yang baik merupakan satu lumrah yang amat baik sekiranya berlaku dalam suasana yang sihat.

Tekanan boleh berlaku disebabkan banyak faktor. Antaranya, yang paling penting adalah cara belajar seseorang itu. Pelajar yang melakukan persediaan awal akan lebih bermotivasi untuk menghadapi peperiksaan. Kelalaian yang berlaku di awal musim pengajian boleh menjadi punca berlakunya tekanan bagi kebanyakan pelajar. Justeru, pengurusan masa yang efektif amat penting terutama dalam menghadapi detik-detik akhir sebelum menjelang hari peperiksaan.
Menghadapi tekanan peperiksaan atau perlumbaan menuntut kepada spiritual dan mental yang jitu. Spiritual dan mental yang lemah akan menyebabkan pelajar mudah mengaku kalah sebelum berjuang- putus asa. Kekuatan mental lahir dari sikap dan pemikiran yang optimis serta stabil dalam berusaha mencapai matlamat yang diinginkan.

Justeru, Perbanyakkanlah berzikir, tadabbur al-Quran dan merenung keindahan pada penciptaan alam sebagai salah satu cara mencari ketenangan jiwa. Sentiasalah berbaik sangka dengan keadilan Allah azzawajalla. Namun, sekiranya kita masih tidak mendapat keputusan yang baik walaupun selepas berusaha, yakinlah di sana ada hikmah yang lebih berharga.
Semoga kejayaan yang diimpikan berada di tangan kita bersama-sama redha dari Yang Esa.

[...]

Kesombongan

0 comments

Diterjemahkan dari syair arab:

Ku mempunyai teman cinta dunia.
Banyak kesalahan dari kebenaran yang ia ada.
Lebih keras dari kumbang kepala.
Berjalan lebih sombong dari burung gagak.

Ku berkata pada orang yang sombong.
Temanku mati tidak boleh kembali.
Wahai orang dihadang kematian.
Mengapa tidak mahu merendah diri?

Wahai orang sombong keterlaluan.
Kita adalah selonggok tanah.
Kehidupan ini hanyalah permainan.
Setiap langkah menuju pada kematian.

[...]

Renungan....

0 comments

Sabda Rasulullah SAW Yang Bermaksud:

BERHATI-HATI DGN PEMIKIRAN KAMU
KERANA IA AKAN MELAHIRKAN PERKATAAN,
BERHATI-HATI DGN PERKATAAN KAMU
KERANA IA AKAN MELAHIRKAN PERBUATAN,
BERHATI-HATI DGN PERBUATAN KAMU
KERANA IA AKAN MELAHIRKAN TABIAT,
BERHATI-HATI DGN TABIAT KAMU
KERANA IA AKAN MEMBENTUK KARAKTER KAMU,
BERHATI-HATI DGN KARAKTER KAMU
KERANA IA AKAN MENENTUKAN DESTINASI KAMU...
KEGEMBIRAAN ATAU KECELAKAAN!!!
P/s: Sekadar renungan dan peringatan buat diriku dan kawan-kawan ku.

[...]

Berfikir Dengan Bijak Sebelum Bertindak

0 comments

Manusia diberikan kebebasan untuk bertindak bagi memastikan tercapainya matlamat hidup. Namun tindakan yang dilakukan hendaklah dengan cara yang bijaksana atau dengan kata lain berfikir dahulu sebelum bertindak.
Tindakan yang dilakukan tanpa berfikir akan menimbulkan kesan yang tidak baik, setiap tindakan memerlukan perancangan yang teratur kerana tanpa perancangan tindakan kita menemui kegagalan. Oleh itu, setiap tindakan yang kita lakukan memerlukan usaha yang bersungguh-sunguh dan jangan melakukan dengan sambil lewa.
Sebelum bertindak, perancangan yang betul dan sistematik perlu dibuat untuk menepati matlamat. Contohnya, seseorang pelajar perlulah melakukan perancangan dan berusaha bersungguh-sungguh. Matlamat yang hendak dicapai mestilah terang dan jelas supaya segala usaha dan tindakan tidak bercanggah dengan matlamat.
Berfikir dengan bijak sebelum bertindak akan mendatangkan kesan yang baik seperti tidak berlaku pembaziran wang, tenaga dan masa, menghasilkan mutu kerja yang cemerlang, kerja yang bersistemetik ke arah mencapai matlamat, menimbulkan semangat bekerja kerana perancangan dan matlamat adalah jelas seterusnya melahirkan individu yang maju dan berwawasan...

[...]

Dedikasi Terhadap Tugas Dan Tanggungjawab

0 comments

Dedikasi merupakan sifat yang mulia yang boleh diertikan sebagai gigih dan ikhlas dalam melaksanakan tindakan dan tidak mudah berasa jemu lebih-lebih lagi ketika menuntut ilmu.Dedikasi memerlukan pengorbanan tenaga, masa, harta dan lain-lainnya dalam usaha untuk mencapai sesuatu matlamat.
Orang yang berdedikasi mempunyai semangat dan cita-cita yang tinggi bagi meningkatkan kecemerlangan diri dalam apa jua bidang yang diceburi kerana mereka sentiasa melakukan sesuatu pekerjaan dengan bersunguh-sunguh, tidak mudah putus asa apabila mendapat kegagalan sebaliknya terus berusaha, mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dalam menghadapi kesusahan, tekun dan berdisiplin dalam melakukan pekerjaan dan sentiasa mencari idea untuk mempertingkatkan mutu sesuatu yang dimilikinya.
Sifat dedikasi perlu ada pada diri kita bagi memastikan kita mendapat kejayaan dalam hidup.Seseorang yang gigih atau dedikasi dalam menjalankan tugas akan membuahkan hasil yang membanggakan. Oleh itu, marilah kita sama-sama meningkatkan taraf hidup kita dengan menanam sifat dedikasi dalam diri masing-masing.
Berusahalah dengan lebih gigih kerana kegigihan akan menghasilkan kejayaan yang cemerlang dalam hidup....InsyaAllah.
P/s : Buat kawan-kawan ku sekalian, buatlah sesuatu pekerjaan dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan kerana ganjaran dari Allah diatas pekerjaan yang kita lakukan amat indah sekali.

[...]

Adab Terhadap Rakan

0 comments

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga dia mengasihi saudaranya (yang mukmin)
sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri...(riwayat al-bukhari).

Lazimnya manusia tidak boleh hidup bersendirian, sebaliknya memerlukan teman atau kawan dalam menjalani liku-liku kehidupan seharian. Teman atau kawan ialah orang yang paling rapat dengan kita selain ibu bapa dan keluarga, lebih-lebih lagi rakan sebaya.Rakan atau sahabat yang baik adalah tempat kita berbicara, meluahkan sesuatu masalah dan sebagainya.
Oleh itu, dalam soal berkawan kita hendaklah menghormati kawan dengan cara memberi kerjasama atau pertolongan apabila diperlukan, menyuruh sahabat atau kawan melakukan kebaikan dan taat kepada perintah Allah sekiranya kawan tersebut terpesong dari lunas-lunas kehidupan yang sebenar, bersopan santun ketika bercakap dengan rakan kita dan janganlah terlalu banyak bergurau kerana gurauan yang melebihi batas akan mengaibkan kawan dan seterusnya mencetuskan pergaduhan.
Buat kawan-kawan ku, hendaklah kita sentiasa mengamalkan sikap mudah memberi senyuman dan bertegur sapa apabila bertemu serta tidak menaruh sangkaan buruk terhadap rakan, apabila rakan melakukan kesalahan, kita hendaklah menegur dan menasihatinya dengan cara yang baik.
Dalam menjalani kehidupan berkawan seharusnya kita mengelakkan diri dari bersikap sombong dan angkuh dengan kelebihan sendiri, suka menyakiti hati sahabat, menghina rakan yang mempunyai taraf kehidupan yang rendah, mengaibkan rakan dikhalayak ramai dan mementingkan diri sendiri serta tidak mempunyai belas kasihan terhadap rakan yang dalam kesusahan...
P/s : Buat rakan-rakan ku yang pernah terluka, terhina dan terasa hati dengan lafaz kata-kata ku....ampun maaf ku pinta, semoga kita kekal sebagai kawan...

[...]

Adab Terhadap Guru

0 comments

Guru merupakan orang yang bertanggungjawab mengajar kita berbagai-bagai ilmu pengetahuan sama ada ilmu dunia atau ilmu akhirat. Guru bukan sahaja pengajar, tetapi juga pendidik dan pembimbing kita supaya menjadi orang yang berilmu dan berakhlak mulia. Tanpa guru, seseorang itu tidak akan dapat mencapai kejayaan cemerlang dan mencapai kedudukan yang teguh dalam masyarakat atau negara.
Namun kita sebagai insan yang pernah bergelar pelajar, pernah atau tidak kita cuba menyelami hati dan perasaan seorang guru kita. Apakah perasaan seorang guru yang sedang mengajar dikelas, manakala pelajarnya pula sedang bercerita, bermain dan sebagainya. Guru juga adalah seorang manusia yang punya perasaan.
Sebagai seorang pelajar kita hendaklah sentiasa menghormati guru supaya ilmu yang diajar oleh guru akan sentiasa berkekalan dan mendapat keredhaan.Jangan melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh guru kerana pelajar yang degil, malas dan tidak menghormati guru tidak akan mendapat berkat dalam ilmunya. Jangan ketawa apabila guru kita melakukan kesilapan kerana ini boleh mengaibkannya, sebaliknya hendaklah memberitahunya dengan baik.
P/s :Buat guru-guru yang pernah mengajarku terima kasih atas pengorbanan kalian, jasamu akan ku kenang hingga akhir hayat.Doaku sentiasa mengiringi kalian semoga sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera.

[...]

Masa : Suatu Anugerah Tuhan Buat Manusia

0 comments

Maksud Sabda Rasulullah SAW:
Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara : Masa sihatmu sebelum sakitmu.
Masa lapang sebelum masa sibuk. Masa muda sebelum masa tua. Masa kaya sebelum
datang miskin. Masa hidup sebelum datang mati.
Masa merupakan suatu perkara yang sangat senonim dengan kehidupan manusia. Tanpa masa maka tiadalah penghidupan, namun ada sesetengah dari kita tidak tahu menghargai, menilai dan menguruskannya menyebabkan mereka menghabiskan masa yang dianugerah Allah dengan sia-sia.
Tetapi apabila kita kehilangan sesuatu nikmat dan anugerah tuhan baharulah kita menyedari dan merasai betapa tinggi nilai dan nikmat anugerah tersebut. Wahai kawan-kawan ku sekalian, marilah kita menginsafi diri kita kerana amat malang sekali sekiranya hidup di dunia menderita manakala di akhirat pula sengsara.
Oleh itu marilah kita pergunakan masa hidup ini untuk membina kejayaan di dunia dan kebahagian di akhirat...InsyaAllah.

[...]