Buku Pelawat

Peristiwa Isra' Dan Mikraj

0 comments

Bulan Rejab kian hampir melabuhkan tirainya. Maka semakin terasa dekatnya pertemuan dengan bulan mulia lagi penuh rahmat, iaitu Ramadan al-mubarak. Namun, di penghujung Rejab yang mulia ini, kita terpanggil untuk merenung sejenak peristiwa yang besar dan bermakna bagi seluruh umat.

Peristiwa yang dimaksudkan itu ialah peristiwa Israk Mikraj yang menakjubkan, yang berlaku pada malam 27 Rejab, tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad SAW.Israk dan Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW dan dianggap sebagai satu penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian. Kedua-dua peristiwa itu adalah kurnia Allah SWT kepada baginda untuk memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaan-Nya.

Sungguhpun peristiwa luar biasa yang terjadi setahun sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah itu mustahil dapat dijangkau oleh alam pemikiran manusia, namun kita selaku umat Islam wajib percaya dan mengyakini bahawa Israk Mikraj yang ditempuhi serta dialami oleh Nabi Muhammad SAW adalah benar dan berlaku dengan roh dan jasadnya sekali.

Segala-galanya boleh berlaku dengan kehendak dan kekuasaan Allah selaku Pencipta dan Pentadbir alam semesta.Israk bererti perjalanan Nabi SAW dari Masjidilharam di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis di Palestin. Peristiwa ini terakam di dalam Al-Quran, sepertimana firman Allah yang bermaksud :
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil-Haraam (di Mekah) ke Masjidil-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”(Q.S. Al-Israa’: 1).

Sementara itu, Mikraj pula merujuk kepada perjalanan baginda SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratulmuntaha di langit ketujuh, dekat singgahsana Allah SWT sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran yang bermaksud:
“Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi di sisi “Sidratul-Muntaha”; yang di sisinya terletak syurga “Jannatul-Makwa”. (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa “Sidratul-Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya.”(Q.S. An-Najm: 13-18).

Oleh itu, Israk Mikraj dapat disimpulkan sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad pada malam hari atas kudrat dan iradat Allah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, kemudian naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.Salah satu inti penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ialah perintah solat yang diterima Nabi SAW di Sidratulmuntaha. Pada mulanya Allah SWT memberi perintah supaya mengerjakan solat (sembahyang) 50 waktu sehari semalam.

Tatkala bertemu dengan Nabi Musa Alaihi Salam di langit keenam, Muhammad SAW menceritakan perintah yang diterimanya daripada Allah. Lalu Nabi Musa menyarankan agar baginda kembali menghadap Allah SWT untuk memohon keringanan, dengan alasan bahawa umatnya tidak akan sanggup melaksanakan solat 50 waktu itu. Disebabkan terlalu sayangkan umatnya, Nabi SAW menerima saranan itu. Ia pun kembali menghadap untuk memohon keringanan. Permohonan itu berulang sampai 9 kali hinggalah Allah SWT mengabulkannya dengan mengurangi waktu solat menjadi hanya 5 kali sehari semalam.

Adapun waktu-waktu solat yang telah ditentukan itu ialah Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isya. Waktu mengerjakan solat berkenaan diterangkan dengan jelas di dalam Al-Quran, sepertimana firman Allah yang bermaksud :
“Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan-peringatan bagi orang-orang yang ingat.” (Q.S. Hud: 114).Bulan Rejab tahun ke-11 dari kerasulan baginda SAW, disifatkan oleh ahli sejarah sebagai ‘Amulhuzn’ (tahun dukacita) bagi Rasulullah.

Ini berikutan dengan dua musibah berturut-turut yang menimpa baginda, iaitu kehilangan dua insan tersayang berikutan kewafatan Khadijah, isteri baginda yang tercinta, yang kemudian disusuli pula dengan pemergian bapa saudara baginda, Abu Thalib, yang banyak melindunginya daripada ancaman kaum kuffar Quraisy.

Musibah yang menimpa itu berpengaruh besar terhadap diri Rasulullah. Lantas Nabi merasakan ruang untuk pergerakan dakwah di kota Makkah semakin sempit dan keselamatan diri turut terancam. Keadaan yang sedemikian mendorong Rasulullah untuk berpindah ke Thaif dengan harapan agar penduduknya menerima seruan dan bersedia membantu perjuangannya. Malangnya, segala harapan baginda hancur berkecai kerana penduduk Thaif bukan saja tidak mahu memberi perlindungan kepada Nabi, malah Nabi dicaci, dihina hatta dianiaya.Lalu, Rasulullah kembali semula ke Makkah dengan perasaan hampa tanpa hasil. Dan dalam hal keadaan menanggung kesedihan dan kehampaan, Allah menganugerahkan Israk Mikraj, yang antara lain bertujuan menghibur dan mempertebal iman Nabi SAW.

[...]

Tanda-Tanda Kebahagian Dan Keberuntungan

0 comments

Pertama: setiap ilmunya bertambah, bertambahlah tawadhu' dan kasih sayangnya.

Kedua: setiap amalnya bertambah, bertambahlah pula rasa takut dan berhati-hatinya.

Ketiga: setiap kali umurnya bertambah, berkuranglah ketamakan dan kerakusannya.

Keempat: setiap hartanya bertambah, bertambah pula kedermawan dan pengorbanannya.

Kelima: setiap kali kedudukannya bertambah, bertambah pula kedekatannya kepada sesama manusia, memenuhi keperluan mereka dan rendah hati terhadap manusia.

[...]

Demi Mu Sebuah Persahabatan...

0 comments

Selagi hati boleh memaafkan, maka maafkanlah…Allah sayangkan orang yg memberikan kemaafan walau dipinta, yg berterima kasih walau dia yg memberi…

Memulakan usaha murni ke arah pengukuhan semula sebuah silaturrahim adalah tindakan yg terpuji..Apatah lagi jika ia merupakan hubungan suci yang diikat atas nama Allah… Kalau telah memulakan untuk kali pertama, mengapa tidak kali kedua? Andai telah masuk kali ketiga, tiada salahnya memulakan kali yg keempat…

Kesabaran adalah kemenangan…
Ada ketikanya kita perlu memulakan. Biarlah kita beralah apatah lagi demi sebuah perhubungan yang suci. Beralah bukan bererti kita salah atau kalah. Sebaliknya kita adalah org yang menang kerana berjaya menjernihkan keadaan.

[...]

Kelayakan untuk bergelar 'ustaz'

0 comments

JIKA kita menyandarkan gelaran, panggilan, tanpa ada batasan maka kita akan mewujudkan caca marba dalam masyarakat. Seorang ustaz ialah yang mempelajari agama Islam, berakhlak seperti akhlak Islam, berpegang dengan ajaran Islam, malah berpakaian yang selayaknya untuk seorang ustaz.
Jika kriteria asas ini tidak dipatuhi, seorang ustaz itu sama saja dengan orang lain dan tidak ada keperluan untuk memanggilnya ustaz. Sebagai contoh seorang yang berlatar belakangkan pengajian Islam, namun sering ke kelab malam, maka dia bukanlah seorang ustaz.
Seorang ustaz bukan hanya pandai bercakap mengenai Islam tetapi juga berakhlak Islam. Justeru, tiada istilah ‘ustaz rock’, ‘ustaz hindustan’ dan sebagainya. Kalau itulah minatnya, maka dia bukanlah ustaz.

Asas panggilan seorang ustaz ialah beliau mesti belajar ilmu Islam sama ada secara formal atau tidak formal dalam bentuk disiplin ilmu Islam itu sendiri. Sebagai contoh belajar Islam dengan seorang guru dan memasuki kelas guru berkenaan serta memiliki kitab yang dipelajari. Pengajiannya mesti dalam jangka masa bertahun-tahun. Ia kerana dalam disiplin ilmu Islam hampir saja menyamai mana-mana ilmu lain iaitu memerlukan masa yang panjang untuk memahaminya. Adalah pelik dengan belajar setahun dua sudah dikatakan alim melainkan dia menerima wahyu daripada langit. Dengan itu terkeluarlah daripada panggilan ustaz, seseorang yang sesekali pergi melawat pondok dan pasentren dan tidak jelas pembelajarannya ilmu Islamnya.

Ustaz seorang yang berakhlak Islam. Dia tidak akan makan sambil berjalan, menghisap rokok, berambut panjang seperti wanita (kecuali berambut panjang mencecah bahu dengan niat semata-mata menurut sunnah Rasulullah SAW bukan kerana trend masa kini), memasuki panggung wayang dalam apa sebab sekalipun, bergaul dengan wanita bukan mahramnya dan semua bentuk akhlak yang tidak layak bagi seorang Islam. Kalau itulah yang dilakukan oleh ustaz itu, keluarkan saja ustaz sebegini daripada golongan ustaz kerana dia bukanlah seorang ustaz.
Umum menerima bahawa seorang hakim mempunyai akhlak dan etika kehakiman. Beliau tidak boleh berada di tempat tertentu serta makan dengan orang tertentu yang dikhuatiri menjejaskan kredibiliti penghakimannya. Misalnya, seorang hakim tidak boleh makan bersama peguam bela kes yang diadilinya. Sekalipun dia tidak membuat apa-apa kesalahan dan tidak menerima rasuah, namun perbuatan itu melanggar etika kehakiman.
Begitu juga dengan seorang ustaz? Mereka tidak boleh merungut, itu tidak boleh, ini tidak boleh kerana itulah harganya seorang ustaz. Sama saja seorang hakim tidak boleh merungut kerana menerima jawatan sebagai hakim. Mampukah kita menerima ustaz yang terkinja-kinja di pentas, ustaz yang akhlaknya sama saja dengan orang lain, ustaz yang bergaul bebas dengan wanita atas alasan yang sengaja dibuat-buat dan sebagainya?

Saya menyeru kepada kita semua, marilah kembalikan maruah institusi ustaz dan tidak sewenangnya menyandarkan gelaran itu kepada sesiapa saja. Ini kerana institusi ustaz ini adalah mulia dan pada merekalah kita melihat wajah Islam.
YANG PRIHATIN,
Kelantan.
Sumber : Berita harian 8 Jun 2009

[...]