Marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah SWT dengan mengerjakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya dengan melimpahkan nikmat yang tidak terkira banyaknya. Maka kita sebagai hambaNya yang beriman, wajiblah bersyukur di atas anugerah tersebut.
Mencari rezeki untuk hidup adalah satu tuntutan atau kewajipan ke atas setiap manusia, bagi memenuhi keperluan seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan-keperluan lain, untuk diri sendiri dan orang yang dibawah tanggungjawabnya. Namun apa yang penting hendaklah rezeki yang di perolehi itu dari sumber yang halal, baik serta diberkati oleh Allah SWT.Oleh itu, dalam kita mencari rezeki samada sebagai seorang pekerja, peniaga, pengusaha dan sebagainya hendaklah mengamalkan sifat jujur dan amanah, tekun dan sabar dalam pekerjaan yang dilakukan.
Apatahlagi orang yang bekerja itu bukan hanya akan mendapat hasil dari usahanya, malah akan di beri ganjaran oleh Allah SWT, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Barangsiapa yang merasa penat kerana bekerja untuk mencari rezeki yang halal, nescaya terampun segala dosanya".(Riwayat Al-Imam Al-Sayuti)
Dalam menentukan makanan dan minuman kita itu halal, kita hendaklah memastikan tiga perkara :Pertama - makanan dan minuman kita hendaklah dari benda-benda yang dibenarkan oleh syariat Islam. Kedua - Disediakan mengikut cara yang dituntut oleh syariat Islam.Ketiga - Memastikan rezeki tersebut daripada sumber yang halal.Kita hendaklah sentiasa berwaspada dan memastikan apa yang kita makan dan minum dan apa yang kita berikan kepada isteri dan anak-anak kita adalah dari sumber yang halal.
Marilah kita renungkan sebuah hadis yang bermaksud :" Seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut-masai rambutnya dan kotor pakaiannya, menadah tangan ke langit sambil berdoa : " Ya Tuhanku!, Ya Tuhanku!, tatapi makan minumnya dari yang haram. Pakaiannya dari yang haram. Bagaimanakah hendak diterima doanya?."(Riwayat Muslim)Walaupun dia seorang musafir itu merupakan doa yang mustajab, yang tidak akan ditolak oleh Allah SW, namun akibat pemakanan dan perbelanjaan dari sumber yang haram seperti judi, perniagaan atau pelaburan berunsurkan riba' dan gharar, mencuri, menipu orang lain dan juga kerja-kerja yang bersangkutan dengan perkara yang dilarang agama, maka menyebabkan Allah SWT tidak menerima doanya.
Ingatlah sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad :" Sesungguhnya tidak akan masuk syurga daging yang tumbuh dari sumber yang haram, sebaliknya nerakalah tempatnya yang lebih utama."Sahabatku yang dimuliakan Allah SWT,Allah SWT sebenarnya telah menetapkan garis panduan bagi umat Islam dalam memilih pemakanan. Setiap apa yang ditetapkan oleh Allah SWT pastinya mempunyai hikmah dan kebaikan untuk umat manusia.Firman Allah SWT di dalam Surah An-Nahl ayat 114 :" Oleh itu, makanlah daripada apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda-benda yang halal dan bersyukurlah akan nikmat Allah, Jika benar kamu menyambahNya semata-mata." Allah SWT memerintahkan kita bukan sahaja memakan makanan yang halal, tetapi makanan yang baik juga. Apa yang dimaksudkan dengan baik disini adalah makanan berkhasiat dan berzat untuk kesihatan.
Oleh itu Islam menggalakkan kita agar menjaga kesihatan dan Islam juga menganjurkan kita makan bukan sahaja yang halal, tetapi yang baik dan berkhasiat.Jesteru, seseorang muslim yang prihatin dan mengambil berat terhadap pemakanan perlu memastikan setiap makanan dan minuman kita adalah dari sumber yang halal dan baik serta disediakan mengikut cara yang ditetapkan syarak.Berbagai cara yang boleh kita lakukan untuk memastikan bahawa makanan kita adalah halal. Antaranya adalah dengan memastikan bahawa makanan kita adalah halal.
Antaranya adalah dengan memastikan bahawa makanan tersebut bertanda halal yang sah dan diiktiraf oleh pihak berkuasa agama di Malaysia.Di samping itu juga, kita perlu membiasakan diri membaca kandungan barangan yang kita beli dan tarikh luput barang tersebut. Kita perlu tahu apa yang kita masukkan ke dalam perut kita, kerana makanan akan mempengaruhi kehidupan, perwatakan dan pemikiran kita. Bagi makanan yang sudahpun mempunyai logo halal dan yang sah dan diiktiraf, membaca kandungan makanan yang dibeli akan lebih menjadikan kita penggunan yang mempunyai kesedaran. Bukan setiap pengguna yang hanya tahu membeli sahaja. Jika kita ragu-ragu terhadap sesuatu makanan, samada ia halal atau tidak maka adalah lebih baik kita tidak memakannya. Inilah panduan Islam sepertimana sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari :" Tinggalkan apa yang mencurigakan kamu kepada apa yang tidak mencurigakan kamu. "Sabdanya lagi :" Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan yang haram itupun nyata (terang). Dan diantara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran yang tidak diketahui akannya oleh ramai manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya) dari segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran, jatuhlah ia ke dalam perkara yang haram."Ingatlah, bahawa orang yang mendapat rezeki dari sumber yang tidak halal akan membawa akibat buruk kepada dirinya seperti rezeki yang diperoleh tiada keberkatan didalamnya, hilang kepercayaaan orang ramai kepadanya, tidak akan diterima doa-doanya, akan mendapat tempat yang hina disisi Allah SWT dan dimasukkan ke dalam api neraka.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :Dari Khaula Al-Ansariah ra, ia berkata aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : " Bahawasanya orang yang mencampur-adukkan harta Allah dengan jalan yang tidak halal, maka mereka akan mendapat seksaan api neraka pada hari kiamat kelak."(Riwayat Al-Bukhari)(Al-Baqarah:168) " Wahai sekalian manusia, makanlah daripada apa yang ada di muka bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang dan nyata bagi kamu."
0 comments:
Catat Ulasan